Thursday, September 11, 2014

Dugaan, Kesabaran, Keimanan...

Lumrah kehidupan, tak lepas dari permasalahan dan dugaan. Kita sebagai umat islam, umat Nabi Muhammad S.A.W sentiasa sedar bahawa dugaan yang datang merupakan satu ujian yang akan menilai tahap keimanan kita. Kesabaran dan keredhaan dalam menempuh setiap dugaan yang datang menentukan dimanakah tahap keimanan kita sebenarnya.

Bila kita diulit dengan kesenangan, kegembiraan, kelapangan, kebahagiaan dan keselesaan mudah kita merasakan kita adalah insan yang beruntung, yang bersyukur, panjat segala kepujiaan sang pencipta dan yang mengurniakan segala-galanya kepada kita. Waktu itu kita akan tersenyum selebarnya. Rasanya seperti mahu seru alam supaya turut tersenyum bersama kita.

Bila, seseorang datang pada kita dan mengadu tentang sesuatu permasalahan, seribu ayat mampu kita beri sebagai kata semangat untuk memberi insan tersebut kekuatan untuk meneruskan hidup dan menerima dugaan yang datang dengan redha dan mengangggap dugaan itu sebagai anugerah.

Namun bila kita didatangi dengan dugaan, mampukah kita tersenyum semegahnya, mampukah kita terus berfikiran positif dan mampukah kita jadi pakar motivasi untuk diri kita sendiri?.. Itu hanya akan terjawab tika dugaan datang pada kita.

Sememangnya dugaan itu satu anugerah. Anugerah yang cukup indah. Keindahan itu kita akan nampak tika kita berjaya harungi setiap dugaan yang datang dengan penuh keredhaan. Siapa kita selepas kita berjaya mengharungi dugaan itu yang menjadi ukurannya. Siapa kita selepas berakhirnya dugaan?...

Sewaktu kita dilanda dugaan, apakah cara penerimaan kita?.

- Adakah dengan keredhaan ataupun dengan kekeluhan.
-Adakah dengan senyuman ataupun dengan tangisan.
- Adakah dengan keikhlasan ataupun dengan seribu pertanyaan.
-Adakah dengan terus mengingatinya (Allah S.W.T) ataupun dengan buruk sangka kepadanya.

Jika kita sambut setiap dugaan yang datang dengan keredhaan, senyuman, keikhlasan disamping terus mengingatinya. Percayalah kita adalah insan yang "berjaya" selepas berakhirnya dugaan tersebut.

Penting untuk kita semat dihati, sentiasalah berbaik sangka kepada Allah S.W.T. Tiada apa yang datang darinya adalah sia-sia melainkan untuk kita terus meminta dan mengingatinya.

: Pesanan untuk diri sendiri.....


No comments:

Post a Comment